Friday 5 October 2012

SENYUM...


ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..
            Alhamdulillah, bersyukur kepada Ilahi kerana masih diberikan kudrat oleh Allah untuk menulis entri ketiga pada minggu ini. Walaupun badan panas, terasa seperti hendak demam namun, tugasan atau diari pada minggu ini harus diteruskan juga. Pada kali ini saya ingin berkongsi serba sedikit tentang budaya di kaunter. Budaya di kaunter ini berkait rapat juga dengan bahasa yang digunakan. Jika kita pernah menonton iklan senyum dan terima kasih  yang selalu disiarkan di televisyen yang telah diterbitkan oleh Kementerian  Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ( KPKK ) merupakan antara salah satu budaya di kaunter.
            Budaya di kaunter ini amat digalakkan oleh pihak KPKK kerana kebanyakannya pegawai yang bertugas di kaunter tidak mengamalkan nilai-nilai murni dalam melaksanakan tugas. Kempen senyum dan terima kasih  diadakan bagi anggota penguatkuasaan dan perkhidmatan kaunter supaya mengamalkan budaya senyum, memperkenalkan diri dan mengucapkan terima kasih.
Baru- baru ini, saya pergi ke salah sebuah pejabat yang dirahsiakan namanya untuk menuntut sijil. Layanan yang diberikan teramat teruk. Saya memberi salam namun, langsung tidak diendahkan. Saya cuba untuk berfikiran positif dengan menganggap dia menjawab salam di dalam hati. Kemudian, saya bertanya kepada kerani tersebut dan dengan muka yang masam semasam limau itu dia halau saya dan kawan-kawan keluar dari pejabat itu kerana katanya kerani yang bertugas untuk memberikan sijil itu tiada. Hilang rasa kesabaran saya, sudahlah cakap langsung tidak sopan, senyum juga payah. Sebeginikah amalan yang baik bagi seorang pegawai di kaunter? Jika semua pegawai di kaunter seperti ini pasti akan menjatuhkan imej negara pada pandang  pelancong asing.
Nilai-nilai murni amat perlu diterapkan pada semua pegawai yang berkhidmat di kaunter. Kita sebagai rakyat Malaysia perlulah lebih bersifat mesra dan sopan dalam menjalankan tugas. Pernah saya menemu ramah pelancong asing mengenai sikap orang Malaysia dan mereka berkata bahawa rakyat Malaysia sangat mesra dan baik. Namun, jika mereka berjumpa dengan pegawai-pegawai yang tidak mesra seperti pegawai di kaunter ini mungkin pandangan mereka terhadap kita akan berubah.  Mereka bukan sahaja tidak mesra malah susah sungguh untuk melemparkan senyuman. Terlalu mahalkah senyuman untuk diberikan kepada pelanggan? kepada semua yang berkerja di kaunter sama-samalah mengamalkan nilai-nilai murni di kaunter. Renung-renungkan dan selamat beramal...Sekian.  
            

No comments:

Post a Comment