Thursday 27 September 2012

Dialek Kita.....


  Assalamualaikum dan salam sejahtera.
        Pada masa kini, jika kita lihat masyarakat sekarang lebih suka untuk mengunakan dialek negeri masing-masing semasa berbual. Selain itu, bahasa rojak atau pencampuran bahasa dalam sesuatu perbualan juga sering digunakan dalam kehidupan seharian. Hal ini, boleh menyebabkan bahasa Melayu standard diabaikan dan dipinggirkan. Walaupun agak janggal jika kita menggunakan bahasa Melayu standard dalam perbualan tetapi hal ini membolehkan kita memperbaiki mutu bahasa kita. Di samping itu, kita mampu mengetahui masalah bahasa dan sejauh mana  kebolehbahasaan kita.
        
      Pada hari Rabu yang lalu, saya berkenalan dengan seorang rakan baru yang berasal dari Kelantan. Pada permulaannya, saya masih faham apa yang dituturkannya. Namun, lama-kelamaan saya sukar untuk memahaminya kerana dialek Kelantan yang digunakan semakin sukar untuk difahami. Al maklumlah saya bukan orang Kelantan sebaliknya orang Perak. Apabila dia menggunakan sesuatu perkataan yang saya tidak faham, saya hanya senyum sahaja. Saya langsung tidak faham dan tidak pernah dengar perkataan itu. Saya ada bertanya kepadanya, tidak bolehkah jika dia menggunakan bahasa Melayu standard atau baku supaya orang yang bukan senegeri dengan lebih mudah memahami . Namun, katanya dialek itu sudah sebati dalam diri dan digunakan dari kecil sehingga tidak boleh diubah. 
    
        Pada pendapat saya, dalam hal ini penggunaan dialek yang keterlaluan akan menyukarkan kita untuk berkomunikasi secara formal dalam apa-apa urusan rasmi. Hal ini demikian kerana, bukan semua orang boleh faham dialek yang kita gunakan. Misalnya, tidak semua orang Perak faham dialek Kelantan dan begitu juga sebaliknya. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu standard dalam kalangan masyarakat perlulah diterapkan. Sama-samalah kita memartabatkan bahasa Melayu dalam kehidupan.