Thursday 4 October 2012

BAHASA SINDIRAN


ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA...
            Bertemu kembali kita dalam entri terbaru untuk minggu ini. Rasanya banyak yang ingin saya kongsikan bersama kawan-kawan semua. Entri pertama saya pada minggu ini adalah berkisar tentang sindiran halus yang menusuk ke kalbu. Kadang-kadang dalam perbualan seharian kita bersama kawan-kawan, kita tidak sedar bahawa kita terlepas cakap sehingga menyebabkan orang lain terasa. Walaupun ada masanya kita boleh menerima sesuatu sindiran itu, namun adakalanya kita tersentuh dengan kata sindiran itu.
            Bahasa sindiran adalah perkataan yang digunakan untuk mengata, mengejek, mengeji atau mencela seseorang ialah sindiran.  Sindiran dilakukan tanpa berterus terang. Bahasa sindiran mengandungi maksud yang ditujukan kepada seseorang, tetapi tidak disebutkan secara tepat, hanya disinggung atau dikias-kiaskan kepada perkara yang lain, kerana tidak mahu disebut secara terus-terang.  Sekiranya orang yang ditujukan itu mengerti, maksud sindiran itu dapat dirasakannya, seperti kata peribahasa Melayu, iaitu ‘siapa makan cili dialah terasa pedasnya’.
Sifat tidak suka berterus-terang  menjadi amalan biasa dalam masyarakat  Melayu kerana mereka berpegang kuat pada prinsip menjaga hati orang lain.  Oleh sebab itu, mereka menggunakan bahasa sindiran untuk menyatakan sesuatu yang terbuku di hati, atau melepaskan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu yang tidak menyenangkan.
Mari kita lihat  beberapa contoh bahasa sindiran (dengan maksudnya sekali) seperti yang berikut:

            1.         Hai, sekejap sahaja dah berhenti?
                        (sindiran ditujukan kepada seseorang yang cepat letih dan  berhenti daripada melakukan sesuatu pekerjaan)

2.      Aku seorang sahaja bekerja macam nak mampus.
(sindiran ditujukan kepada orang lain yang malas bekerja yang membiarkannya bekerja sendirian. Jika dihalusi, sindiran ini mengandungi nada marah)

3.        Tua tak sedar diri, rumah dah kata pergi, kubur dah kata mari, tapi masih macam orang muda.
(sindiran ditujukan kepada orang dewasa/tua yang masih tidak sedar akan ketuaannya).
Pada pandangan saya bahasa sindiran mampu membuatkan sabahat karib bergaduh, rakan sekelas bertekak dan sebagainya. Oleh itu, janganlah kita terlebih-lebih menggunakan sindiran kerana kelak boleh mengundang padah. Renung-renungkan ya kawan-kawan semua…

No comments:

Post a Comment