Saturday, 6 October 2012

BELAJAR BAHASA BANJAR ....


ASSALAMUALAIKUM...
Ketandusan idea membuatkan saya lama berfikir untuk menulis mengenai apa pula pada entri kali ini. Tiba-tiba, saya teringat untuk telefon ayah di kampung. Ayah saya adalah  berketurunan Banjar, maka entri kali ini saya ingin mengajar serba sedikit bahasa Banjar yang selalu ayah gunakan di rumah.
Bahasa Banjar merupakan bahasa Austronesia yang dipertuturkan sesetengah tempat di Semenanjung Malaysia dan di provinsi Kalimantan Selatan Indonesia. Bahasa Banjar meruapakan salah satu cabang bahasa yang berkembang dari bahasa Melayu. Asal bahasa ini berada di provinsi Kalimantan Selatan yang terbahagi kepada Banjar Kandangan, Amuntai, Alabiu Alai, Masin dan lain-lain.
Perkataan banjar yang sering ayah gunakan di rumah adalah seperti berikut :
·         Bagawi yang bermaksud bekerja
·         Bahari yang bermaksud dahulu kala
·         Bahirak yang bermaksud buang air besar
·         Kadak hingkat bermaksud tidak boleh
·         Palilak bermaksud bunga teratai
·         Kulaan bermaksud saudara-mara
·         Niring bermaksud tengok
Pada mulanya saya agak tidak faham bahasa Banjar tapi setelah lama mendengar saya cuba faham sedikit demi sedikit. Tambahan pula, sekarang saya sudah berpindah ke kampung ayah di mana hampir kesemua masyarakat di situ berketurunan Banjar, jadi lebih mudah untuk saya terus mendalami bahasa ini. Bahasa Banjar ini perlu terus diamalkan oleh generasi muda agar tidak terus hilang begitu sahaja pada masa akan datang.

KESALAHAN BAHASA YANG DIBIARKAN...


ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.....
            Syukur  alhamdulillah , masih bernafas dan diberi kudrat untuk terus menulis dan menulis. Entri kali ini saya akan berkongsi mengenai kesalahan ejaan pada papan tanda, poster, arahan yang diletakkan di tandas dan sebagainya. Kesalahan ini sering berlaku jika kita betul-betul perasan. Jika kita arif tentang bahasa sudah pasti kita mampu mengenal pasti kesalahan bahasa yang digunakan.
            Pada hari khamis yang lepas semasa berjalan pulang dari kelas saya terperasankan satu poster lama mengenai bas untuk cuti hari raya haji dan cuti minggu belajar. Apabila saya tengok poster itu, ternyata terdapat dua kesalahan bahasa yang dilakukan. Pertama, pihak bas menggunakan bahasa rojak di mana mencampurkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. ‘cuti stady week dan raya haji’. Penggunaan bahasa Inggeris itu telah merosakkan bahasa kita. Di samping itu, kesalahan ejaan ‘stady’ itu menambahkan lagi kesalahan bahasa pada poster itu. Oleh itu, saya berpendapat bahawa pihak yang mahu mengeluarkan apa-apa sahaja untuk hebahan umum perlulah lebih peka mengenai kesesuaian dan ketepatan bahasa yang digunakan.
            Situasi kedua mengenai kesalahan bahasa ialah semasa saya pergi ke tandas di salah sebuah kedai  di Bandar Tanjung Malim. Terdapat satu arahan di mana tertulis ‘sila tutup air selepas mengbukannya’. Apakah bahasa ejaan yang digunakan? Adakah betul penggunaan imbuhan yang telah digunakan? Sudah semestinya salah. Ejaan yang betul ialah membukanya, mungkin pihak kedai ingin menggunakan perkataan ‘menggunakan’ tapi tertulis mengbukanya. Kesalahan-kesalahan seperti inilah yang mampu merosakkan bahasa kita. Oleh itu, semua pihak perlulah peka tentang kesalahan bahasa  agar tidak terus berlaku di masa akan datang.. Sekian .

Friday, 5 October 2012

SENYUM...


ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA..
            Alhamdulillah, bersyukur kepada Ilahi kerana masih diberikan kudrat oleh Allah untuk menulis entri ketiga pada minggu ini. Walaupun badan panas, terasa seperti hendak demam namun, tugasan atau diari pada minggu ini harus diteruskan juga. Pada kali ini saya ingin berkongsi serba sedikit tentang budaya di kaunter. Budaya di kaunter ini berkait rapat juga dengan bahasa yang digunakan. Jika kita pernah menonton iklan senyum dan terima kasih  yang selalu disiarkan di televisyen yang telah diterbitkan oleh Kementerian  Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ( KPKK ) merupakan antara salah satu budaya di kaunter.
            Budaya di kaunter ini amat digalakkan oleh pihak KPKK kerana kebanyakannya pegawai yang bertugas di kaunter tidak mengamalkan nilai-nilai murni dalam melaksanakan tugas. Kempen senyum dan terima kasih  diadakan bagi anggota penguatkuasaan dan perkhidmatan kaunter supaya mengamalkan budaya senyum, memperkenalkan diri dan mengucapkan terima kasih.
Baru- baru ini, saya pergi ke salah sebuah pejabat yang dirahsiakan namanya untuk menuntut sijil. Layanan yang diberikan teramat teruk. Saya memberi salam namun, langsung tidak diendahkan. Saya cuba untuk berfikiran positif dengan menganggap dia menjawab salam di dalam hati. Kemudian, saya bertanya kepada kerani tersebut dan dengan muka yang masam semasam limau itu dia halau saya dan kawan-kawan keluar dari pejabat itu kerana katanya kerani yang bertugas untuk memberikan sijil itu tiada. Hilang rasa kesabaran saya, sudahlah cakap langsung tidak sopan, senyum juga payah. Sebeginikah amalan yang baik bagi seorang pegawai di kaunter? Jika semua pegawai di kaunter seperti ini pasti akan menjatuhkan imej negara pada pandang  pelancong asing.
Nilai-nilai murni amat perlu diterapkan pada semua pegawai yang berkhidmat di kaunter. Kita sebagai rakyat Malaysia perlulah lebih bersifat mesra dan sopan dalam menjalankan tugas. Pernah saya menemu ramah pelancong asing mengenai sikap orang Malaysia dan mereka berkata bahawa rakyat Malaysia sangat mesra dan baik. Namun, jika mereka berjumpa dengan pegawai-pegawai yang tidak mesra seperti pegawai di kaunter ini mungkin pandangan mereka terhadap kita akan berubah.  Mereka bukan sahaja tidak mesra malah susah sungguh untuk melemparkan senyuman. Terlalu mahalkah senyuman untuk diberikan kepada pelanggan? kepada semua yang berkerja di kaunter sama-samalah mengamalkan nilai-nilai murni di kaunter. Renung-renungkan dan selamat beramal...Sekian.  
            

Thursday, 4 October 2012

BAHASA ROJAK


ASSALAMUALAIKUM W.B.T...
            Bersua lagi dalam entri kedua minggu ini. Pada kali ini saya ingin berkongsi mengenai isu bahasa rojak. Bahasa rojak merupakan suatu percakapan yang menakrifkan campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Misalnya Manglish, iaitu seketika menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan kata-kata dalam bahasa Inggeris.
            Bahasa rojak mampu membawa kesan negatif pada masa kini dan akan datang. Pertama, bahasa rojak mampu menjejaskan keberkesanan komunikasi dalam masyarakat sekaligus menimbulkan salah faham. Kedua, impaknya ialah penghayatan terhadap bahasa Melayu semakin berkurang. Ketiga, mutu penguasaan bahasa Melayu terus merosot dan lemah serta terhakis, hal ini akan memberikan kesan kepada ilmu, bahasa pentadbiran, bahasa undung-undang dan sebagainya. Impak yang terakhir dalam penggunaan bahasa rojak ialah menurunkan kedudukan bahasa Melayu dan seterusnya negara memiliki rakyat yang gagal berkomunikasi dengan baik.
Contoh bahasa rojak yang digunakan oleh masyarakat kita ialah seperti berikut :
1.      Situasi di restoran
Pelayan: You nak makan apa? You seleklah makan dari meja tu, you ambiklah apa you nak. Kemudian you bawak kat I, I kira bagi kat you.
Pelanggan: Cik puan, panggillah pelanggan ‘cik’ ... ‘encik’ dan ‘puan.’ Itu panggilan hormat.
Pelayan: You tak suka tak pa ...we all tak pernah dengar orang komplen pun .

2.      Situasi di pejabat
Pekerja : Bos petang ni bos ada meeting jam 2.30petang.
Bos : Baiklah, thank you.
Situasi-situasi ini menggambarkan bahawa bahasa rojak telah berleluasa disemua tempat di negara kita. Oleh itu, pelbagai langkah yang telah diambil untuk menghapuskan atau mengurangkan masalah ini. Salah satu daripadanya ialah persidangan yang membincangkan permasalahan ini. Namun, bahasa rojak ini masih tidak dapat dibendung. Oleh yang demikian, kesedaran bersama perlu dalam menanggani masalah bahasa rojak ini. Marilah sama-sama kita memartabatkan bahasa ibunda, bahasa kebangsaan kita. Sesungguhnya Bahasa Jiwa Bangsa. Sekian....

BAHASA SINDIRAN


ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA...
            Bertemu kembali kita dalam entri terbaru untuk minggu ini. Rasanya banyak yang ingin saya kongsikan bersama kawan-kawan semua. Entri pertama saya pada minggu ini adalah berkisar tentang sindiran halus yang menusuk ke kalbu. Kadang-kadang dalam perbualan seharian kita bersama kawan-kawan, kita tidak sedar bahawa kita terlepas cakap sehingga menyebabkan orang lain terasa. Walaupun ada masanya kita boleh menerima sesuatu sindiran itu, namun adakalanya kita tersentuh dengan kata sindiran itu.
            Bahasa sindiran adalah perkataan yang digunakan untuk mengata, mengejek, mengeji atau mencela seseorang ialah sindiran.  Sindiran dilakukan tanpa berterus terang. Bahasa sindiran mengandungi maksud yang ditujukan kepada seseorang, tetapi tidak disebutkan secara tepat, hanya disinggung atau dikias-kiaskan kepada perkara yang lain, kerana tidak mahu disebut secara terus-terang.  Sekiranya orang yang ditujukan itu mengerti, maksud sindiran itu dapat dirasakannya, seperti kata peribahasa Melayu, iaitu ‘siapa makan cili dialah terasa pedasnya’.
Sifat tidak suka berterus-terang  menjadi amalan biasa dalam masyarakat  Melayu kerana mereka berpegang kuat pada prinsip menjaga hati orang lain.  Oleh sebab itu, mereka menggunakan bahasa sindiran untuk menyatakan sesuatu yang terbuku di hati, atau melepaskan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu yang tidak menyenangkan.
Mari kita lihat  beberapa contoh bahasa sindiran (dengan maksudnya sekali) seperti yang berikut:

            1.         Hai, sekejap sahaja dah berhenti?
                        (sindiran ditujukan kepada seseorang yang cepat letih dan  berhenti daripada melakukan sesuatu pekerjaan)

2.      Aku seorang sahaja bekerja macam nak mampus.
(sindiran ditujukan kepada orang lain yang malas bekerja yang membiarkannya bekerja sendirian. Jika dihalusi, sindiran ini mengandungi nada marah)

3.        Tua tak sedar diri, rumah dah kata pergi, kubur dah kata mari, tapi masih macam orang muda.
(sindiran ditujukan kepada orang dewasa/tua yang masih tidak sedar akan ketuaannya).
Pada pandangan saya bahasa sindiran mampu membuatkan sabahat karib bergaduh, rakan sekelas bertekak dan sebagainya. Oleh itu, janganlah kita terlebih-lebih menggunakan sindiran kerana kelak boleh mengundang padah. Renung-renungkan ya kawan-kawan semua…

Sunday, 30 September 2012

MOH BELAJAR DIALEK PERAK...


Baru-baru ini saya berkesempatan untuk melawat keluarga abang ipar saya di Bota Kanan. Jika kita ketahui selalunya orang daerah Perak Tengah yang terdiri daripada Kampung Gajah, Bota dan Parit merupakan orang Perak piolah atau asli. Dialeknya yang pelbagai membuatkan saya teringin untuk mempelajarinya. Saya berbual-bual dengan mak mentua kakak saya dan dia menggunakan dialek Perak yang kuat. Nasib baik abang ipar saya boleh tolong menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu standard kepada saya.
Mereka sangat menjaga bahasa mereka agar tidak terus lenyap. Anak-anak kecil sudah diajar berbahasa menggunakan dialek. Penggunaan dialek ini turut digunakan dalam majlis-majlis peminangan, kenduri dan sebagainya.  Dialek ini amat berbeza dengan bahasa Melayu standard, walaupun makna bagi sesuatu perkataan itu sama sahaja. Mari kita lihat perkataan-perkataan dialek  Perak.

ACHERKEME - macamana kalau
ATER - habis tu
ASER - Bila
AYO - Air
AJER NGAN YER -  betul sangat dah tu
BULOR - Lapar tak makan
BOLEN - Bertelanjang Bulat
BIOT - Degil
BERDAGHOH - berdarah
BERDANO - terlalu kotor
BERDAMO - bersepai
BENGKIN - garang
BEDA'AH - Tipu/bohong
BEBEI - degil sngt2 atau pun menyesal/bebal
BONYEH - lantai yg basah
BOJOT - badan basah habis kena hujan
BESIT - merotan
BEGHANSOR - nak balik
BALUN - pukul/makan/belasah
BANTEI - Bantal/pukul/belasah
BEGHOCHAT/BOCHAT - Ikan Haruan
BEKELE - Bergaduh
BEBIGHAT - calar balar
BETOLO-TOLO - tak mahu pergi dulu sampai bertolak-tolak
BEGHAMBAT - Berlari
 CHER/CER - cuba/'try'
CAKCHIBO - binatang pepatung
CHUAK - simbah
CHEGHIN/MENCHERGHIN - badan rasa nak demam
CEKELAT - Gula-gula
CHAGHIT - koyak
DAN - Sempat
DEGHUIH - Nakal
DEDO - Panas2 sejuk
 GHODI/KODI - membetulkan balik/repair
GETAK - jatuh / luruh
GEGHOTOK/GEROTOK - jambatan
GETIK - menyampah
GANJEI - terkena / naya / terkejut
GHERBER/REBER - sesak, beriya, gedik, poyo
GILA SEPEREGHE - separuh gila
GEBOR - Selimut
HAJAP - Ingin/hendak
HAMBAT - kejar
HANCHIT - Ketepi
HANTAP - badan yg sasa
HANGAT PIJOR - Panas yg keterlaluan
HEMPAH PIO - bertungkus lumus
HOGEH - goyang/goncang
HILIO - Hilir
 INGKER - seronok sangat
 JELEBO - Labi2
JENUH - tunggu lama sngt
JELEIPEK - dah tak lalu nak bangun
JA'AMER - mukaddam
JELAGE - Taik pelita minyak
JOGHER - padanan yg tak kena langsung
 KUMER/KEIMER - kita, kami
KOMER - korang
KEMIN - Kemas/smart
KAYU ROL - pembaris
KALEN/KALEH - selak/berubah
KAYO - nak ke sungai/nak pergi buang air kecil/besar
KOKAK - Gigit
KOKO - coklat
KOTEH/KEGHOTEH - Kertas
KEGHOBO/KOBO - Kerbau
LABUN - cakap/bagitahu/berkata-kata
LECAH - becak/lumpur
LECHAK - main2/buat sepah di atas katil
LIMBAH - air pekat yg kotor
LIBANG-LIBU -  tak senang duduk/tak tentu hala
LEGHEH/LEGHAS - cepat
LANGGAT - Susun tinggi; biasa guna pada pinggan
LUKU - ketuk di kepala
LENDUT - sesuatu yg dah terlalu berat
LEBOH - hilang
LESOH - Senyap
LEMPO - Baling
LEPO - tempat susun pinggan mangkuk di kenduri kawin
LENJUN - basah kena hujan
 MIKER - anda, awak, kamu
MENGKEMER/MENGKOMER - awak/korang semua
MERABAN TEBEN - Tak Tentu Arah, Perbuatan yang Pening
MUNCOH - dah kaya banyak duit atau berharta
MERAMBU - joli sana sini
MENTEKEDAGHOH -  makan dgn lahap
MENTECHIKER - makan
MEGHOLOH - Tidor
MENTONG - makan sampai tambah 2-3 kali
MAKEI - pakai/guna
MENGKIAK - besar sikit dari anai2 selalunya menjadi kalkatu
MEGHEDANG-GHEDANG -  membuta-tuli/ikut suka
NGELEIWO - Terumbang ambing kekiri ke kanan [Macam ular kena palu]
NYELAP SADOR - seseorang yg seperti dirasuk
NGELE’NYOR - Mengedik atau pun ngada²/ gatal
NYOR- Buah Kelapa
NYEGHOGIN -  tersenyum sorang diri
NGETIT - kena gigit serangga
NGEISOT - bergerak sikit2 sambil duduk
NYENGKET - Mengintai
NYONGKIT - Berjalan-jalan
NGERNYI - geli geleman
NYEGHENKEN - Kurus kering tak ada isi langsung
NGELATOK - Berdebar kerana terkejut
OGHANG - orang
 PEROK - jakun / tak pernah tengok benda
PASIO - Pasir kering
PORES - jabatan hutan
PUIH OPEH - Pejabat pos
PIO - Tulen/Asli
PAGHAP - pukul
PENGOR - bau yg terlalu busuk
PO'NGOR - Terbuka
PANCHOR - mandi air pancut
 REBEN TEYBEN - selekeh sangat
REGIH - Penyapu lidi
SIO - hendak
SEMUT GATEI - Semut Api
SELAIT - lampu suluh / torch light
SEPEGHOH - alas / lapik meja
SA'NGEI - tudung saji
SI-YAR* (sengorkan bunyi) - mangguk tingkat
 TEMAN/AWOK - aku, saya
TOBEN - Tua Bangka
TAK KU SIO - tak mahu, tak hendak
TEPENGHONGOR/TERBEGHONGEH - Terbuka luas
            Akhir kata dari saya, ‘ di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, di mana kaki menjejak, di situ bahasa disanjung.’        Walaupun penggunaan bahasa Melayu standard digunakan, akan tetapi dialek kita janganlah ditinggalkan.  Namun, dalam majlis-majlis rasmi janganlah menggunakan dialek sebaliknya, gunalah bahasa Melayu standard.

BAHASA OH BAHASA


Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera...
            Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Illahi kerana saya masih mampu menulis untuk entri terakhir pada minggu ini. Semalam saya ada membaca sebuah novel ini, tajuknya dirahsiakan. Setelah separuh saya baca, saya dapati terlalu banyak kesalahan bahasa yang digunakan. Adakah penulis tersebut tidak menyemak semula hasil tulisannya itu? Sehingga terlalu banyak kesalahan bahasa. Walau bagaimanapun, mungkin penulis tersebut terlepas pandang akan semua ini.
Entri ini bukanlah untuk mengkritik mana-mana penulis novel, namun hanyalah untuk membuka mata penulis novel  dan semua penulis agar lebih berhati-hati dalam melakukan penulisan.  Jika dibiarkan perkara ini terus berlaku, penulisan tidak akan sedar kesilapan mereka. Oleh itu, di sini saya senaraikan penggunaan bahasa yang sering salah digunakan oleh sesiapa sahaja termasuk penulis novel.
·        Oleh kerana sepatutnya oleh sebab ( oleh merupakan kata sendi nama yang perlu diikuti dengan kata nama atau frasa nama, kerana bukanlah kata nama sebaliknya kata hubung ).
·        Merbahaya sepatutnya berbahaya ( dalam bahasa Melayu tiada imbuhan meR-).
·        Ini kerana sepatutnya hal ini demikian atau hal ini dikatakan demikian kerana ( ini merupakan kata penentu yang perlu hadir dihadapannya kata nama dan tidak boleh hadir selepasnya kata hubung ).
·        Bermain dengan api sepatutnya bermain api ( kata kerja perlu diikuti oleh objek selepasnya).
·        Mempunyai banyak harta sepatutnya banyak mempunyai harta ( kata kerja transitif mempunyai perlu diikuti dengan objek yang terdiri daripada frasa nama ).
Cukuplah itu sahaja kesalahan umum yang dapat saya kongsikan buat kali ini. Insyaallah, akan saya kongsikan lagi pada masa akan datang. Berdasarkan kesalahan yang saya berikan di atas, kita dapat lihat kesalahan ini sering kita lakukan bukan sahaja dalam penulisan novel tapi dalam perbualan harian kita juga. Kita perlulah membetulkan kesalahan yang sering dilakukan agar tidak terus salah menggunakan bahasa. Di sini saya ingin berkongsi satu program yang mampu membantu kita dalam membetulkan bahasa yang salah yang sering kita gunakan. Program atau segmen ini disiarkan dalam Radio Perak.fm pada setiap hari sabtu jam 3.00petang. Segmen ini bertajuk ‘betulkan yang salah, biasakan yang betul’. Setiap minggu aka nada satu topik baru yang dibincangkan tentang kesalahan bahasa yang sering kita lakukan. Pakar-pakar bahasa dijemput untuk menyampaikan maklumat mengenai kesalahan bahasa ini. Saya sempat mengikuti hanya beberapa minggu sahaja segmen tersebut. Setelah mendengar segmen itu, ternyata masih banyak juga yang saya tidak tahu walaupun saya sendiri mengambil jurusan bahasa Melayu. Ternyata kita sebagai orang Melayu masih lagi naif tentang bahasa. Oleh itu, marilah sama-sama kita terus belajar bahasa dan mengamalkan bahasa yang betul.

ROSAK BAHASA KITA


Sejak bermulanya zaman facebook, twitter dan sebagainya semakin banyak bahasa pelik muncul ‘bak cendawan turun selepas hujan’. Jika kita dapat lihat pelbagai bahasa yang  remaja gunakan dalam facebook mereka. Penggunaan ejaan yang mampu merosakkan bahasa telah berleluasa sehingga mungkin boleh mengundang keburukan. Contohnya, mungkin remaja tersebut akan menggunakan kesilapan ejaan dalam peperiksaan yang mereka hadapi.
            Remaja ini menggunakan perkataan seperti berikut :
·         Kitew atau itew untuk kita
·         Nty untuk nanti
·         Kew untuk ke
·         Budawk untuk budak
·         Ngadew untuk mengada
·         Anjew untuk manja
·         Dy untuk dia
Terdapat banyak lagi perkataan yang ditukarkan ejaan dan sebutannya. Bagaimana untuk kita memartabatkan bahasa Melayu jika remaja tidak mahu menggunakan bahasa yang betul?. Saya sendiri tidak tahu kenapa mereka menggunakan bahasa sedemikian. Adakah mungkin mereka mengalami kecelaruan bahasa atau emosi? Semua persoalan ini hanya mampu mereka jawab. Namun, bagi saya mereka ini hanya terikut-ikut dengan trend zaman sekarang. Remaja seperti ini mungkin juga kurang kasih sayang daripada keluarga sehingga menulis yang bukan-bukan dengan ejaan yang salah. Mereka buat  mungkin untuk menarik perhatian orang lain.
            Bahasa mampu mencerminkan bangsa kita. Namun, jika bahasa kita hancur dan rosak bagaimanakah mampu mencerminkan bangsa? Jika pelancong asing yang pandai berbahasa Melayu dan mampu menulis dalam bahasa Melayu, tidakkah kita malu dengan mereka?. Mereka mampu menggunakan bahasa yang betul, namun kita menggunakan bahasa yang salah. Oleh itu, eloklah kiranya para remaja membetulkan semula apa yang salah dan membiasakan yang betul. Selain itu, remaja juga mungkin boleh mengikuti semula kelas bahasa Melayu untuk membetulkan semula kesalahan bahasa yang sering dilakukan. Amalkanlah menggunakan bahasa yang betul dalam kehidupan seharian. Bahasa merupakan nadi bangsa kita. Sekian.

MENCELAH ATAU 'TURN-TAKING'


ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA...
            Saya ada satu cerita menarik yang hendak dikongsikan dengan kawan-kawan semua. Benda ini sudah lama berlaku, namun baru sekarang berkesempatan untuk dikongsikan bersama. Masa cuti semester yang lalu saya berkesempatan pergi bersiar-siar di Pulau Pinang bersama keluarga. Kami pusing-pusing satu Penang. Kemudian, kami pergi ke Padang Kota untuk menikmati pasembur. Pasembur Penang teramat sedap.
            Namun, di sini bukanlah saya ingin bercerita mengenai semua itu tapi saya ingin menceritakan mengenai masalah ‘turn-taking’.  ‘Turn-taking’ atau dalam bahasa Melayu ialah mencelah merupakan satu tingkah laku yang tidak  sopan dalam kalangan masyarakat. Perkara ini acapkali berlaku pada kanak-kanak atau remaja yang mana suka mencelah semasa orang tua berbual-bual. Terdapat adab-adab dalam mencelah yang perlu kita ketahui.
            Adab adalah terdiri daripada berikut :
·         Hendaklah kita diam dan mendengar dari orang yang lebih mulia ... lebih berilmu dan lebih tua umurnya ... Di samping mendengar, juga perlu menghadap kepadanya dan memandang mukanya ... macam bila kita memandang khatib bila berada bersama-sama jemaah solat Juma'at ataupun di majlis ilmu

·         Jangan mencelah hingga orang selesai bercakap di dalam suatu majlis ... kerana pada satu-satu majlis, orang-orang yang berakal tidak akan bercakap kepada dua orang sekali gus.

·         Jangan memotong percakapan seseorang .. jangan memperbaiki, mengkritik, menyalahkan atau merendahkan ucapannya ... ni kes orang-orang yang suka menokok tambah cakap orang lain secara beradap atau pun di belakangnya ... biasanya sampai berlaku salah tafsir cakap orang (misinterpretation) ... BAHAYA nih!!!

            Allah s.w.t berfirman:
            "Dan berkatalah kepada manusia dengan yang baik".

           (Soorah Al Baqarah ayat 83)
"Dan janganlah kamu membantah Ahli Kitab itu melainkan dengan  sesuatu yang lebih baik" (Soorah Al Ankabut ayat 46)
Semasa berada di Pulau Pinang saya memerhatikan gelagat ramai orang. Kemudian saya terpandang satu keluarga yang sedang bersembang-sembang antara mereka. Saya mendengar ada seorang remaja daripada kalangan keluarga tersebut yang asyik mencelah apabila orang tuanya bersembang. Pada saya perkara ini adalah sangat tidak sopan. Sepatutnya dia tidak boleh mencelah sewenang-wenangnya semasa orang yang lebih tua berbual. Oleh itu, saya kongsikan adab di atas untuk panduan mencelah yang boleh digunakan oleh rakan-rakan semua....:)