Sunday, 30 September 2012

BAHASA OH BAHASA


Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera...
            Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Illahi kerana saya masih mampu menulis untuk entri terakhir pada minggu ini. Semalam saya ada membaca sebuah novel ini, tajuknya dirahsiakan. Setelah separuh saya baca, saya dapati terlalu banyak kesalahan bahasa yang digunakan. Adakah penulis tersebut tidak menyemak semula hasil tulisannya itu? Sehingga terlalu banyak kesalahan bahasa. Walau bagaimanapun, mungkin penulis tersebut terlepas pandang akan semua ini.
Entri ini bukanlah untuk mengkritik mana-mana penulis novel, namun hanyalah untuk membuka mata penulis novel  dan semua penulis agar lebih berhati-hati dalam melakukan penulisan.  Jika dibiarkan perkara ini terus berlaku, penulisan tidak akan sedar kesilapan mereka. Oleh itu, di sini saya senaraikan penggunaan bahasa yang sering salah digunakan oleh sesiapa sahaja termasuk penulis novel.
·        Oleh kerana sepatutnya oleh sebab ( oleh merupakan kata sendi nama yang perlu diikuti dengan kata nama atau frasa nama, kerana bukanlah kata nama sebaliknya kata hubung ).
·        Merbahaya sepatutnya berbahaya ( dalam bahasa Melayu tiada imbuhan meR-).
·        Ini kerana sepatutnya hal ini demikian atau hal ini dikatakan demikian kerana ( ini merupakan kata penentu yang perlu hadir dihadapannya kata nama dan tidak boleh hadir selepasnya kata hubung ).
·        Bermain dengan api sepatutnya bermain api ( kata kerja perlu diikuti oleh objek selepasnya).
·        Mempunyai banyak harta sepatutnya banyak mempunyai harta ( kata kerja transitif mempunyai perlu diikuti dengan objek yang terdiri daripada frasa nama ).
Cukuplah itu sahaja kesalahan umum yang dapat saya kongsikan buat kali ini. Insyaallah, akan saya kongsikan lagi pada masa akan datang. Berdasarkan kesalahan yang saya berikan di atas, kita dapat lihat kesalahan ini sering kita lakukan bukan sahaja dalam penulisan novel tapi dalam perbualan harian kita juga. Kita perlulah membetulkan kesalahan yang sering dilakukan agar tidak terus salah menggunakan bahasa. Di sini saya ingin berkongsi satu program yang mampu membantu kita dalam membetulkan bahasa yang salah yang sering kita gunakan. Program atau segmen ini disiarkan dalam Radio Perak.fm pada setiap hari sabtu jam 3.00petang. Segmen ini bertajuk ‘betulkan yang salah, biasakan yang betul’. Setiap minggu aka nada satu topik baru yang dibincangkan tentang kesalahan bahasa yang sering kita lakukan. Pakar-pakar bahasa dijemput untuk menyampaikan maklumat mengenai kesalahan bahasa ini. Saya sempat mengikuti hanya beberapa minggu sahaja segmen tersebut. Setelah mendengar segmen itu, ternyata masih banyak juga yang saya tidak tahu walaupun saya sendiri mengambil jurusan bahasa Melayu. Ternyata kita sebagai orang Melayu masih lagi naif tentang bahasa. Oleh itu, marilah sama-sama kita terus belajar bahasa dan mengamalkan bahasa yang betul.

No comments:

Post a Comment